Thursday, June 18, 2015

MENUNTUT KEMBALI MAKNA RAMADHAN.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan demi bulan dan tahun demi tahun. Itulah kehidupan dan dunia, ia sentiasa ada permulaan baharu, sekalipun di sebalik apa yang disebut sebagai “tamat”. Tiada perkataan tamat, yang ada ialah permulaan demi permulaan, silih berganti tanpa henti. Bagi Muslim, salah satu tetamu istimewa yang akan sering hadir setiap tahun ialah Ramadan, sebuah bulan yang penuh dengan pengajaran dan disiplin. Ramadan mengajar kita banyak perkara, antaranya ialah bahawa dalam kehidupan harus sentiasa ada waktu tertentu untuk berhenti melakukan kebiasaan. Berhenti; merenung diri dan kehidupan, melihat persekitaran, berbicara dgn diri - sendirian. Berhenti, untuk terus bergerak. Bergerak, dan tahu bila harus berhenti.


Berhenti dari kebiasaan, cari kembali makna dan erti.

Disebabkan itu pada Ramadan, Muslim tidak dibenarkan melakukan sebahagian perkara kebiasaan yang telah menjadi rutin; berhenti dari makan, minum, hubungan seks antara suami isteri (pada siang hari) dan beberapa perkara lagi. Lebih dari itu, Ramadan mendidik manusia supaya berhenti melakukan kebiasaan “dalaman”, bukan sekadar hal-hal zahir. Justeru ia berkait dengan menguasai diri sendiri, kerana “sesiapa yang menguasai dirinya, dia akan dapat mencapai tujuan dan matlamat kehidupannya.” Sehinggakan, seseorang yang berpuasa dilarang menyebut perkataan-perkataan buruk, malahan jika ada seseorang mencela dan melukakannya, dia dianjurkan oleh Nabi SAW supaya menjawab; “Sesungguhnya aku berpuasa, aku berpuasa.”[1]

Ramadan mengajar; persekitaran cuba memberitahu kita supaya mudah emosional, tapi spiritual dan intelektual mendidik kita supaya kekal tenang; berfikir sebelum bertindak. Ia suatu yang sukar, kerana memerlukan disiplin yang kuat dan latihan berterusan. Untuk itu, Ramadan datang sebagai sebuah kursus dan sesi latihan; belajar mencintai manusia, belajar memaafkan, membantu orang memerlukan, belajar untuk berhenti dari kebiasaan lalu fokus hal-hal yang lebih bererti dan sebagainya.

Perkara-perkara yang telah disebut di atas merupakan antara makna dan erti Ramadan yang kita (Muslim) harus tuntut kembali. Pada hari dan zaman di mana makna dan maqasid Ramadan seakan-akan terpinggir jauh dari manusia moden, kita harus mengingatkan semua bahawa di sebalik Ramadan, ada makna dan tujuan besar yang datang bersama-samanya. Ia telah dan sedang dilupakan sesetengah manusia, lalu Ramadan menjadi seperti bulan lain, bahkan lagi teruk Ramadan menjadi bulan untuk manusia lebih menuruti hawa nafsu ketimbang bulan-bulan yang lain. Pertikaman lidah dan pergaduhan antara manusia seperti lebih hebat pada Ramadan, konsumerisme dan berbelanja mewah menjadi-jadi, menambah bilangan golongan ditindas dan Ramadan menjadi alasan segelintir pihak untuk tidak produktif dalam aktiviti harian.

Maqasid al-Sawm dalam Teks Tradisi

Al-Sawm (puasa) yang datang serentak dengan Ramadan memberi pemaknaan amat besar apabila diteliti ertinya. Al-sawmmenurut sarjana silam terkenal – al-Raghib al-Asfahani (meninggal 502 H) – pada asalnya ialah “menahan dari perbuatan; sama ada makan, bercakap atau berjalan. Untuk itu, disebut terhadap kuda yang ditahan daripada berjalan, atau makan: ia disebut sebagaisa-im (yang menahan diri).”[2] Menurut erti itu, puasa bukan sekadar untuk berhenti makan minum sebagaimana dianggap sebahagian pihak, bahkan melampaui itu, puasa dalam erti fiqh al-batin, iaitu menahan diri dari segala keburukan seperti bercakap lucah, mencela, memukul manusia dan mengganti lalu menghias diri dengan perlakuan-perlakuan baik seperti memaafkan, bercakap hal-hal yang baik atau diam, membantu manusia dan sebagainya. Berdasarkannya, kita dapat faham bahawa puasa dan Ramadan membawa mesej penting iaitu persoalan etika dan moral suatu yang tetap (thabit) dan tidak tertakluk pada zaman dan masa tertentu semata-mata. Lebih dari itu, jika kita ingin melihat kebaikan dan perubahan pada persekitaran dan dalam masyarakat, kita mesti terlebih dahulu menjadi kebaikan dan perubahan yang diimpikan.

Persoalan makna dan erti sesuatu praktis agama itulah disebut sebahagian sarjana sebagai maqasid (tujuan-tujuan) sesebuah perintah, larangan dan pernyataan. Sebahagian menyebutnya sebagai al-hikam wara al-ahkam (kebijaksanaan-kebijaksanaan di sebalik hukum-hakam). Abd al-Rahim Ahmad Qamhiyyah telah melakukan suntingan dan semakan terhadap beberapa manuskrip karangan sarjana silam unggul, al-Izz Abd al-Salam (meninggal 660 H). Abd al-Rahim telah menyusun tiga buah karangan al-Izz berkaitan solat, puasa dan haji, lalu menyusunnya dalam satu buku yang diberi nama maqasid al-‘ibadat[3].

Persoalan mencari makna dan hikmah di sebalik sesuatu praktis bukanlah suatu yang asing, malahan dalam beberapa tempat dalam al-Quran dan al-Hadis, hikmah dan erti disebut secara langsung dalam kedua-dua teks tertinggi Islam itu. Terdahulu dari al-Izz ialah al-Tirmidhi al-Hakim (296 H) yang menulis karangan bertajuk al-Salah wa Maqasiduha dan al-Hajj wa Asraruh. Demikian juga beberapa penulis lain yang menulis sama ada secara langsung atau tidak langsung, seperti al-Ghazali (meninggal 505 H) dalam Ihya’ Ulum al-din dan Bidayah al-Hidayah karangannya.

Sebagaimana beragama ada tujuan, makna dan ruhnya, demikian juga hal-hal lain dalam pengamalan agama, termasuk dalam perbincangan kita ini ialah puasa dan Ramadan. Al-Izz sebagai contoh menyebut selain menyebut tentang hukum-hakam dalam karangannya tersebut, beliau menyentuh tentang tujuan dan makna puasa khasnya pada bab fi fada-ilihi (kelebihan-kelebihan puasa) dan fi adabihi (adab-adab puasa) . Antara kelebihannya menurut beliau ialah “mengangkat darjat keimanan orang yang mengerjakannya, menggugurkan dosa-dosa, menentang syahwat, memperbanyak sedekah, menambah ketaatan, mensyukuri Yang Maha Mengetahui perkara-perkara tersembunyi dan menahan dari menderhakai Tuhan”[4].

Al-Ghazali pula dalam Bidayah al-Hidayah karangannya, semasa membahaskan bab Aadab al-Siyam, beliau menyatakan:

“Dan janganlah kamu menyangka apabila kamu telah berpuasa bahawa puasa itu hanyalah meninggalkan makan, minum dan tempat tidur (bermaksud: jimak antara suami isteri) sahaja, telah berkata Rasulullah SAW: betapa ada orang yang berpuasa, tiada baginya apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga.

Malahan penyempurna puasa itu ialah: dengan menahan anggota-anggota seluruhnya dari apa yang Allah ta’ala benci, bahkan kamu hendaklah memelihara mata daripada memandang perkara-perkara yang dibenci, (memelihara) lisan dari menyebut dengan apa yang tak memberi erti kepadamu dan (memelihara) telinga dari mendengar apa yang Allah ta’ala haramkan, sesungguhnya orang yang mendengar merupakan rakan kongsi kepada orang yang berkata, ia merupakan salah seorang dari orang yang mengumpat. Demikianlah kamu menahan seluruh anggota sepertimana kamu menahan perut dan kemaluan!”[5]

Al-Ghazali dan al-Izz merupakan antara sebilangan sarjana silam yang berbicara dengan tuntas soal makna di sebalik praktis ibadat, atau lebih khusus dalam tulisan ini sebagai tujuan dan erti di sebalik. Persoalan rahsia dan “apa di sebalik apa” menjadi lontaran amat bermakna. Perkara “rahsia” dan “apa di sebalik apa” juga merupakan antara mesej penting yang dinyatakan langsung dalam teks-teks wahyu, contohnya dalam beberapa ayat al-Quran yang menyebut langsung tentang Ramadan dan puasa.

Selain itu, saya melihat sepatutnya antara yang menjadi maqasid Ramadan juga ialah mengukuhkan kefahaman tentang kandungan al-Quran. Sebahagian Muslim hanya melihat Ramadan dan “kuantiti” bacaan al-Quran, mereka tidak melihat “kualiti” kefahaman akan al-Quran. Ramadan ialah bulan diturunkan al-Quran; baca dan tadabbur al-Quran, ia adalah kisah cinta dan kemanusiaan. Antara kehebatan al-Quran ialah kesetiaannya dalam persahabatan. Lalu orang yang lazim membacanya akan resah, gelisah dan seperti ada yang tak kena jika dalam satu hari belum membaca al-Quran. Demikian juga antara kehebatannya ialah setiap kali kita mentadabbur ayat-ayatnya, kita sentiasa menemui sesuatu yang baharu sebagai panduan. Al-Quran mengajar kita supaya memikul doa-doa kemanusiaan kita ke ruang-ruang sosial, demi mengubat derita insan.

Al-Taqwa dan krisis spiritual

Al-Quran mendengungkan kenyataan yang terang dan jelas mengenai apa yang dimahukan menerusi Ramadan dan puasa. Antaranya ayat 2: 138 yang bererti:

Wahai orang-orang yang beriman, ditulis ke atas mu kewajipan berpuasa sebagaimana ditulis ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Failasuf al-Quran, Muhammad Abdullah Diraz (meninggal 1958 M) menyebut dalam tulisannya bertajuk al-Sawm: Tarbiyah wa Jihad bahawa ayat tersebut tidak menyebut “supaya kamu sakit” (melihat kepada sesetengah tradisi beragama yang mengaitkan pengalaman kerohanian dengan menyakiti diri sendiri), “supaya kamu sihat” atau “supaya kamu bersederhana (sekalipun kesihatan dan bersederhana itu antara hikmah dari pengamalan puasa)”. Sebaliknya Tuhan “menjadikan puasa sebagai pengalaman kerohanian dan akhlak, selain Dia mahu puasa menjadi jalan untuk mencapai sifat-sifat golongan bertakwa, dan menjadi alat untuk memperoleh ketakwaan.”[6]

Menurut perspektif Islam, takwa merupakan pencapaian tertinggi dalam dunia spiritual, bahkan dunia kemanusiaan. Oleh yang demikian kita melihat, al-Quran (dan juga beberapa hadis) menyebut bahawa kemuliaan manusia itu diukur berdasarkan ketakwaan (49:13). Ayat dalam surah 49 (al-Hujarat) itu sebahagian besarnya merupakan perbahasan tentang etika-etika social seperti larangan mengumpat, larangan bersangka buruk, larangan menyebarkan berita tanpa kritikal dan soal selidik, larangan memandang rendah kepada manusia lain, larangan dari menumpahkan darah dan kewajipan memelihara persaudaraan, selain surah itu didahului dengan arahan supaya beradab dengan Rasulullah SAW. Ia suatu perbahasan tentang “memanusiakan manusia” dan soal amat dalam betapa apabila bertanya tentang kualiti spiritual, bererti bertanya tentang sejauh mana hubungan kita dengan manusia.

Muhammad al-Ghazali (meninggal 1996 M) dalam ‘Ilal wa Adwiyah mengulas dengan menarik kaitan antara surah al-hujurat dan surah seterusnya iaitu surah Qaaf. Al-Hujurat merupakan surah madaniyyah (diturunkan selepas hijrah Nabi saw) dan Qaaf pula merupakan surah makkiyah (diturunkan pada awal era Islam sebelum hijrah Nabi saw). Kebiasaannya antara ciri makkiyyahialah berfokus soal teras keimanan, akhlak dan seumpamanya, sebaliknya kebiasaannya surah madaniyyah memberi fokus tentang system bermasharakat, kehidupan, peraturan dan sebagainya.

Oleh yang demikian, ringkasnya menurut Muhammad al-Ghazali, datangnya surah Qaaf (selepas surah al-Hujurat)yang membicara secara tuntas soal teras-teras keimanan mengisyaratkan bahawa etika-etika yang mulia dan nilai-nilai yang tinggi  itu lahir dari penghayatan keimanan yang unggul.[7] Teknik kupasan yang dilakukan oleh al-Ghazali itu tidak asing dalam tradisi ilmu tafsir, ia merupakan apa yang disebut sebagai munasabah al-suwar wa al-ayy (kesesuaian antara surah-surah dan antara ayat-ayat), antara tokoh terkenal dalam bidang tersebut ialah al-Biqa’I (meninggal 885 H) dalam beberapa teks pentingnya seperti Masa’id al-Nazar Li al-Ishraf ‘ala Maqasid al-Suwar dan Nuzum al-Durur fi Tanasub al-Ayy wa al-Suwar, demikian juga al-Shatibi (meninggal 790 H) dalam al-Muwafaqat fi Usul a-Shariah, al-Razi (meninggal 606 H) dan lain-lain.

Oleh yang demikian, boleh dinyatakan bahawa menurut kerangka Islam, persoalan ketakwaan yang merupakan asas terpenting dalam mengukur pencapaian spiritual seseorang terletak pada sejauh mana kesan baiknya dalam kehidupan keduniaan. Hal ini berbeza dengan ukuran spiritual yang wujud pada hari ini seperti pengalaman dan perjalanan spiritual lebih dikaitkan dengan pengasingan diri dari masharakat dan persekitaran. Bertanya tentang kualiti ketakwaan ialah bertanya tentang sejauh mana kita membantu orang yang miskin dan memerlukan. Konsep pengasingan diri secara total tiada dalam konsep spiritual Islam, adapun memperuntukan masa menyendiri, ia punya hubungan amat erat dengan spiritual; iaitu waktu berhenti dari kebiasaan, merenung kehidupan dan sentiasa menghitung kekurangan diri untuk dibaiki. Sebagai contoh, solat dan galakan untuk berzikir yang punya asasnya dalam tradisi Islam.

Disebabkan itu, kita mendapati ukuran keimanan dan kekuatan spiritual menurut kerangka Islam berkait dengan sejauh mana kualiti interaksinya dalam kehidupan. Ayat al-Quran dan hadis bertalu-talu mengingatkan soal kehidupan sebagai bumi ujian, justeru untuk hidup ialah untuk bersedia dan proaktif mendepani pelbagai cabaran dan ujian. Oleh itu, persoalan ukuran keimanan bukan sekadar berdasarkan keilmuan seseorang, tetapi sejauh mana kekuatannya untuk terus berdaya saing dalam menjadi baik dan berbuat baik dalam kehidupan. Satu lagi persoalan spiritual yang sentiasa timbul ialah hubungan antara spiritual dan disiplin. Suatu yang wujud dalam pelbagai tradisi agama ialah persoalan menguasai diri, “sesiapa yang berjaya menguasai dirinya, dia akan berjaya.” Puasa (dan amalan-amalan ritual yang lain) juga membawa mesej disiplin tersebut; disiplin dengan Tuhan, disiplin dengan masa, disiplin dengan pekerjaan dan sebagainya.

Konsumerisme menanggalkan makna beragama dan kemanusiaan

Seyyed Hossein Nasr telah mengulas dan mengkritik dengan terang dalam karyanya bertajuk Man and Nature mengenai krisis segelintir manusia moden dengan persoalan-persoalan bersifat “supra-rational” seperti kesucian (sacredness), Tuhan, “alam yang hidup” dan sebagainya. Hal tersebut akhirnya memberi kesan seperti “mematikan” ruh dan rahsia yang menjadi antara unsur dalam hidup berlandaskan tradisi agama dan kepercayaan. Dalam bukunya itu, sudah tentu persoalan kebiadapan dan nihil rasa kemanusiaan dan kebertanggungjawapan yang menjadi antara elemen bermasalah antara manusia moden dan alam yang akhirnya mencipta “pertembungan” antara kedua-duanya.

Hakikatnya, ulasan Nasr tersebut merupakan satu juzuk daripada kehidupan seluruhnya yang ditimpa krisis sebegitu rupa. Akibat tiada upaya melihat secara mata kasar “apa di sebalik apa”, maka ia dianggap sebagai tidak rasional, khayalan dan sebagainya. Menerusi bicara kita demi menuntut kembali makna Ramadan ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam. Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadan yang wajar dikejar. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca.

Makna Ramadan di sebalik cabaran konsumerisme

Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; termasuk kurma, pakaian keAraban dan sebagainya. Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”.

Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme dalam melariskan lagi perniagaan kaum pemodal, dalam sesetengah masharakat Islam, kadang-kadang ia berlaku terhadap sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos-kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks!

Beberapa perenggan tersebut merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya praktis-praktis keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu yang jelas dilihat praktis-praktis keagamaan dalam Islam ialah ia sentiasa akan dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tak sepatutnya. Akibat ragutan itu, ia menjadikan Ramadan bukan lagi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding bulan-bulan lain. Ramadan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan.

Pantulan dan khatimah

Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan. Karen Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?; ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar punya erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian:

Human beings cannot endure emptiness and desolation; they will fill the vacuum by creating a new focus of meaning. The idols of fundamentalism are not good substitutes for God; if we are to create a vibrant new faith for the twenty-first century, we should, perhaps, ponder the history of God for some lessons and warnings.[8]

Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu refleksi dalam tradisi beragama khasnya dalam kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita persoalan makna, tujuan dan rahsia terabai serius dalam faham kita tentang Ramadan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadan dan amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak kepada melihat kembali teks-teks dan ulasan sarjana silam tentang apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadan ialah satu usaha mengelak kehampaan makna berlangsung serius.

Jauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masharakat yang sudah hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperoleh sepanjang berada di pulau.

Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masharakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semua ke pulau tersebut, meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi.[9]

Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama. Itulah yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan praktis beragama, salah satunya Ramadan dan puasa. Ramadan dan puasa hanya contoh kecil, ia hakikatnya sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan bagaimana kita berinteraksi dengan kehidupan. Berhenti dari hal-hal kebiasaannya, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti.




[1] Al-Bukhari (1904), Muslim (1151) (163).[2] Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfazh al-Quran, suntingan Mustafa bin al-Adawi, cetakan pertama, (Mansoura: Maktabah Fayyadh, 2009) hlm. 373.[3] Al-Izz Abd al-Salam, Maqasid al-Ibadat, suntingan Abd al-Rahim Ahmad Qamhiyyah, cetakan pertama, (Hims: Matba’ah al-Yamamah, 1995)[4] Al-Izz Abd al-Salam, Maqasid al-Sawm, suntingan Iyad Khalid al-Tabba’, cetakan kedua, (Damsyik: Dar al-Fikr, 1995), hlm. 10.[5] Al-Ghazali, Bidayah al-Hidayah, cetakan kelima, (Kaherah: Dar al-Salam, 2010), hlm. 141-142.[6] Muhammad Abdullah Darraz, al-Siyam: Tarbiyah wa Jihad, cetakan pertama, (Amman: Jam’iyyah al-Muhafazah ‘ala al-Quran al-Karim, 2014) hlm. 42.[7] Al-Qaradawi, al-Shaykh al-Ghazali Kama ‘Araftuhu, cetakan kedua, (Kaherah: Dar al-Shuruq, 2008), hlm. 118-119.[8] Karen Armstrong, History of God, (US: The Random House Publishing Group, 1993), hlm. 171.[9] Ibn Tufail, Hayy Ibn Yaqazhan, suntingan Dr Farouk Sa’ad cetakan kelima, (Beirut: Dar al-Afaq al-Jadidah, tanpa tarikh), hlm. 220-234.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...