Tuesday, November 3, 2015

Rezeki kita bukan semuanya milik kita

Assalamualaikum...

Bagi yang bekerja, setiap hujung bulan dapat gaji. Bagi yang berniaga atau bekerja sendiri ada pendapatan yang diperoleh. Walau berapa pun jumlah gaji atau pendapatan yang ada pada kita, bukan semuanya milik kita. Maksudnya dalam rezeki kita akan ada bahagian orang lain. 

Sambil berjalan bersama keluarga atau kawan-kawan, tiba-tiba ternampak gerai menjual jus buah dan makanan ringan, rasa terliur dan kita beli. Maka itu adalah rezeki si penjual buah dan makanan ringan tersebut. 

Setiap bulan kita bagi mak ayah kita duit, jadi dalam sebahagian pendapatan yang diperolehi itu adalah rezeki untuk mak ayah kita.

Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja, tiba-tiba kereta rosak dan mati di tepi jalan sehingga terpaksa panggil mekanik. Setelah siap dibaiki dan kita membayar sejumlah wang, jadi pada hari tu gaji atau pendapatan yang kita perolehi telah menjadi rezeki mekanik tersebut. Semuanya berlaku tanpa disangka dan dirancang. 

Ada kawan yang berniaga tudung di pejabat dan kita membelinya kerana kasihan, jadi dalam rezeki kita terdapatnya rezeki kawan itu.

Pernah tak suatu hari ada kutipan derma yang dilakukan di pejabat anda? Tetapi anda tidak menderma kerana anda fikir "takpe la orang lain dah ramai menderma, dah banyak tu, entah-entah duit derma lagi banyak dari duit aku". Tidak lama kemudian anda terpaksa juga mengeluarkan sejumlah wang kerana ada masalah yang berlaku. Jadi dalam tengah berkira, mengalir juga duit anda untuk jadi rezeki orang lain.

Dalam hidup ini jangan terlalu berkira, nanti rezeki susah nak masuk. Apa yang kita perolehi hasil dari usaha kita bukan semua rezeki kita. Milik kita bukan semua rezeki kita. Oleh sebab itu kita digalakkan untuk bersedekah. Janji Allah s.w.t itu pasti, siapa yang suka bersedekah tidak akan jatuh miskin. 

Orang yang kedekut seringkali rasa tidak cukup dengan apa yang mereka ada. Kedekut macam mana sekalipun pasti duit itu akan habis juga.  

Terima kasih sudi baca :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...